KEWAJIPAN SEX ANTARA SUAMI ISTERI DALAM ISLAM




DALAM al-Quran Allah memberikan "kebenaran' kepada suami untuk melakukan hubungan seks dengan isterinya pada bila-bila saja. Hal ini seperti dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Isteri-isteri kamu adalah sawah ladang kamu, maka datangilah sawah ladangmu itu dengan cara yang kamu sukai." (Surah al-Baqarah, ayat 223)


Bagaimanapun, sebenarnya dalam ayat itu ada beberapa ajaran yang tersirat, iaitu "mendatangi sawah ladang mestilah dilakukan pada waktu dan masa yang sesuai, bukan sesuka hati.'



Perkara sedemikian kerana apabila menanam padi dan tumbuhan lainnya di sawah atau ladang tanpa melihat keadaan musim dan waktu, maka sawah ladang tadi tidak akan memberikan hasil yang baik.



Ertinya, meskipun Allah memberikan kebebasan kepada suami untuk melakukan hubungan badan dengan isterinya, suami mestilah bersikap bijaksana. Suami tidak melakukan paksaan apabila dia mengetahui bahawa isterinya dalam keadaan tidak bersedia.



Sikap saling memahami dan bertolak ansur antara suami isteri ini digambarkan dalam al-Quran. Firman-Nya bermaksud: "Isterimu itu adalah pakaian kamu, dan kamu adalah pakaian mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 187)



Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa antara suami dan isteri memiliki darjat yang setara dan saling melengkapi antara satu sama lain. Untuk itu, hubungan seks mesti dilakukan dengan cara yang baik dan menyenangkan kedua-dua pihak.



Oleh kerana hubungan seks memiliki peranan penting dalam ajaran Islam, maka ulama menetapkan beberapa hukum berkenaan dengan masalah ini, iaitu:



WAJIB
Hukum ini berlaku andai kata suami meminta isteri melakukan hubungan seks, sementara isteri berada dalam keadaan suci tidak ada uzur dan siap secara fizikal dan mental. Maka pada keadaan seperti ini, wajib bagi isteri untuk melakukan hubungan itu dengan suaminya.



Dalam hal ini, Rasulullah saw pernah bersabda bermaksud: "Apabila seorang suami meminta isterinya untuk melakukan hubungan badan, sementara isterinya tidak mahu untuk melakukannya dan suami itu berasa marah, maka malaikat akan mengutuk isteri berkenaan dari malam hingga ke pagi." (Hadis riwayat Muslim).



Dalam hadis itu, Rasulullah memberikan kebebasan kepada suami untuk meminta isteri melayannya, tetapi Baginda sentiasa mengingatkan beberapa adab atau etika yang harus dipatuhi oleh suami agar isteri tidak berasa dipaksa atau terpaksa.



Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda: "Janganlah antara kamu melakukan hubungan badan dengan isterinya seperti binatang. Sebaiknya mereka melakukan dua perkara terlebih dulu. Sahabat bertanya, apa dua perkara itu? Rasulullah menjawab ciuman dan kata-kata mesra." (Hadis riwayat Dailami)



Ciuman dan kata-kata mesra seperti dikatakan dalam hadis itu untuk membangkitkan ghairah isteri hingga dia bersiap sedia untuk melakukannya dengan hati rela.



Di samping itu, suami tidak dibenarkan hanya mementingkan kepuasan dirinya tanpa memerhati keadaan isteri.



Rasulullah dalam hal ini pernah bersabda: "Apabila kamu melakukan hubungan badan dengan isterimu dan kamu telah berasa puas, sementara isteri kamu belum lagi merasakan kepuasan syahwatnya, maka kamu harus tetap bersamanya hingga dia juga merasakan kepuasan itu." (Hadis riwayat Abu Ya'la)



Berdasarkan keterangan di atas dapat difahami meskipun isteri wajib melayan keinginan suaminya, hubungan badan untuk kepentingan kedua-dua belah pihak, hingga tidak ada yang berasa dipaksa dan dirugikan.



Hubungan badan yang mesra seperti inilah yang disyariatkan oleh agama dan mendatangkan kesihatan baik dari segi fizikal mahupun mental.

SUNAT
Sunat melakukan persetubuhan pada Jumaat dengan syarat ketika suami menginginkan hubungan berkenaan isteri berada dalam keadaan suci tanpa uzur.



Perkara ini berdasarkan riwayat bahawa Rasulullah bersabda: "Siapa yang mandi junub pada Jumaat dan dia pergi ke masjid, maka dia seperti telah berkorban seekor kambing."

MAKRUH
Makruh melakukan hubungan badan apabila satu pihak berada dalam ketakutan, waktu yang tidak sesuai, tidak ghairah dan semua keadaan yang boleh membuat hubungan seks itu tidak mencapai matlamat sebenar.



HARAM
Haram hukumnya melakukan hubungan seks apabila isteri berada dalam keadaan haid seperti firman Allah, maksudnya: "Janganlah kamu mendekati mereka (isteri kamu untuk melakukan hubungan seks) hingga mereka bersih." (Surah al-Baqarah, ayat 222).



Pakar perubatan moden juga bersetuju bahawa perempuan yang sedang haid tidak boleh disetubuhi kerana pada waktu itu mereka sedang mengeluarkan darah kotor yang mengandungi banyak kuman dan bakteria.



Di samping itu, pada masa haid saraf alat kelamin mereka sedang berada dalam keadaan yang tidak stabil.



Diharamkan juga bersetubuh pada siang puasa Ramadan dan pada waktu melaksanakan ihram atau menyetubuhi isteri melalui duburnya.



Demikian besarnya perhatian Islam dalam masalah pernikahan, khususnya masalah hubungan seksual hingga suami dan isteri tidak ada berasa dirugikan atau dipaksa.



Perkara itulah yang dipesan Rasulullah dalam sabdanya: "Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan perempuan. Sesungguhnya kamu ambil mereka dengan amanah Allah dan kamu halalkan mereka dengan kalimah Allah." (Hadis riwayat Muslim)



Andai kata setiap Muslim memahami matlamat nikah dan hubungan seksual dalam Islam, maka tidak akan ada lagi istilah isteri dirogol suami. Sebab isteri menyedari bahawa dengan ijab dan kabul dia telah menyerahkan dirinya kerana Allah untuk suaminya.



Suami pula menyedari bahawa isteri adalah amanah Allah yang telah diterimanya melalui ijab dan kabul itu.



Dengan kesedaran ini, maka suami dan isteri akan melakukan hak dan kewajipan mereka dengan baik berdasarkan panduan al-Quran dan sunnah. Tidak akan ada yang berasa dizalimi atau menzalimi. Suami dan isteri sama berusaha menciptakan keluarga bahagia baik di dunia atau akhirat.


Post a Comment

0 Comments